Login to your account

Username
Password
Remember Me

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Name
Username
Password
Verify password
Email
Verify email

Krisis ekonomi dan kewangan global

Dunia kini semakin menghampiri penghujung dekad pertama abad ke-21. Selepas pertengahan 2008 ini, dunia dikejutkan dengan krisis baru ekonomi dan kewangan global. Kesan besarnya sedang dirasai Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Kemerosotan dalam sektor kewangan global dikatakan lebih teruk daripada krisis kewangan yang melanda Asia pada tahun 1997.

Krisis sekarang menakutkan AS, sedangkan pada masa yang sama negara itu sedang bergelut dengan krisis serius dalam pasaran wang. Lebih banyak institusi kewangannya terjejas oleh masalah kredit.

Rancangan mengambil alih kepentingan dalam saham sembilan bank utama, bagi Presiden George W Bush merupakan langkah jangka pendek. AS sudah berada dalam zaman kemelesetan. Pasaran sahamnya kehilangan bertrilion dolar dalam masa singkat. Dilaporkan 700 bilion dolar wang pembayar cukai diguna untuk menyelamatkan keadaan.

Keadaannya mungkin tidak sama dengan Asia. Asia Timur dan Asia Tenggara sangat berhati-hati. Situasi krisis ekonomi dan kewangan global yang serius begini memerlukan tindakan keserantauan. Bank-bank di Asia dikatakan menghadapi gelombang yang tidak sama. Sungguhpun begitu keadaan turun naik pasaran saham sangat negatif dan kadar pertukaran wang juga tidak mantap, serta eksport yang kekal menjadi jentera pertumbuhan ekonomi rantau itu pun lambat laun ikut dipengaruhi situasi global.

Ada pemimpin dunia yang menyebut era penguasaan ekonomi Amerika Syarikat kini menuju ke penghujung. Ada pula yang melontarkan idea dunia mungkin memerlukan suatu sistem ekonomi baru yang lebih adil. Sistem baru itu dikatakan haruslah berdasarkan pengurusan kolektif dan permuafakatan dalam rangka kerjasama itu. Para pemimpin Asia mungkin merasai hakikat yang sama, lalu menyepakati bagaimana mereka boleh bekerjasama melawani tsunami atau ribut besar ekonomi yang melanda masing-masing negara.

 

Mereka sedia mengatur langkah-langkah bersama secara strategik bagi menghadapinya. Isu kewangan dunia ini dibincangkan mereka tatkala ekonomi negara pengeksport menjadi perlahan, pasaran saham menjunam dan para pemimpin Asia telah meletakkan agenda krisis kewangan ini sebagai agenda utama. Saat dunia didominasi satu ekonomi dan satu mata wang telah berlalu.

Krisis semasa telah membuktikan, walau pun AS mempunyai sumber ekonomi yang pelbagai, namun ia tidak mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan sebagai ‘penguat kuasa utama’ dalam sistem ekonomi. Jadi satu sistem baru berdasarkan pengurusan kolektif sangat diperlukan.

Itu kata-kata Presiden Rusia, Dmitry Medvedev 2 Oktober 2008 pada Forum Pembangunan Rusia-Jerman. Beliau menyeru agar suatu kerjasama dibentuk bagi membina sistem ekonomi baru yang lebih adil berdasarkan prinsip multi-polar, kedaulatan undang-undang dan mengambil kira tentang keperluan bersama. Vladimir Putin, Perdana Menteri Rusia pada 1 Oktober menyelar keadaan ekonomi AS dekad ini sebagai punca kepada masalah ekonomi global masa kini. Masalah ekonomi bermula di AS, berpunca daripada sistem yang tidak bertanggung jawab daripada kepemimpinannya sendiri.

Keadaan ekonomi di Rusia dikatakan masih terkawal, namun Moscow tetap berjaga-jaga, mempelbagaikan simpanan mata wang, terutamanya euro dan tidak bergantung kepada dolar AS dalam Bank Pusat.

Di Asia, China mungkin berusaha mencari jalan menguruskan kejayaan ekonominya sebelum ini. Pengaruh China terhadap perekonomian Asia dijangka bertambah besar. Mesyuarat Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Asia dan Eropah (ASEM) 24-25 Oktober 2008 yang dihadiri ketua-ketua kerajaan 43 buah negara yang telah berlangsung di Beijing, menjadi wahana yang penting. Filipina telah mengambil langkah awal menyediakan pelan pembentukan sebuah tabung yang dikemukakan di Mesyuarat ASEM 2008 Beijing tadi yang melibatkan kesemua 10 buah negara anggota ASEAN dengan disertai China, Jepun dan Korea Selatan.

Di Malaysia, ada orang berpendapat kemelesetan ekonomi sejagat ini dikatakan suatu ancaman baru yang sedang dihadapi negara. Impak keruntuhan sistem kewangan Amerika menjadi kesan berantai terhadap negara-negara lain termasuk ke atas negara-negara maju seperti Jepun dan Kesatuan Eropah. Lalu di Parlimen Malaysia ada gesaan agar kerajaan menyemak semula Belanjawan Negara 2009. Ada empat faktor yang disandarkan yakni penurunan harga minyak dunia yang akan memberi kesan kepada pendapatan negara yang bergantung lebih 40 peratus kepada hasil petroleum.

Kedua, menjunamnya harga komoditi khususnya minyak sawit mentah (CPO) dan getah yang bukan sahaja memberi impak kepada pendapatan negara tetapi juga para peneroka, pekebun kecil dan penduduk luar bandar. Ketiga, terjejasnya eksport negara akibat kemelut ekonomi di Amerika dan Eropah dengan adanya kemungkinan penguncupan permintaan produk sektor perkilangan misainya produk industri elektrik dan elektronik. Keempat, kesan yang datang dan tekanan aliran keluar modal yang meningkat akibat hilangnya keyakinan pelabur.

Ketika kerajaan yakin terhadap pencapaian pertumbuhan 5.7 peratus bagi tahun 2008 dan 5.4 peratus bagi tahun 2009, suatu kiraan semula perlu dilakukan kerana kegawatan kewangan global ini. Malaysia merasakan krisis ini akan dapat dihadapi sebaik mungkin tetapi tidak boleh kekal berpuas hati dan sentiasa berwaspada dalam konteks kegawatan yang berubah setiap hari.

Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN di Dubai 7-8 Oktober 2008 percaya kesan kegawatan kewangan global ini akan terkena negara di seluruh dunia, bergantung berapa lama krisis dan tahap kemelesetan di AS dan Eropah. Ekonomi Malaysia dipelbagaikan dengan baik. Krisis kewangan begini menyebabkan alternatif baru dicari.

Alternatif ini sudah sedia wujud di Malaysia. Salah satu peluangnya berhubung dengan perbankan Islam. Malaysia merupakan satu daripada pusat perbankan Islam terbesar di dunia dan apabila dana dari Asia Barat mengalami kerugian di AS dan Eropah, mereka digalakkan ke Malaysia. Pelabur Asia Barat boleh juga melabur dalam projek pembangunan dilaksanakan di Malaysia dan tidak sebaliknya dengan membeli aset ikon di AS dan Eropah yang telah pun mengalami banyak kerugian dari segi nilai dan sukar dijangkakan keuntungannya dalam keadaan berisiko tinggi.

Malaysia tidak mengalami krisis perbankan, dengan berada dalam persekitaran yang berbeza dengan AS dan Eropah kerana sistem perbankan negara ini terus kukuh dengan pinjaman yang tidak dijelaskan rendah dan nisbah modal wajaran risiko yang tinggi, demikian menurut Menteri Kewangan Kedua, Malaysia Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, sebagaimana laporan Bernama (Utusan Malaysia, 10 Oktober 2008).

Malaysia turut mengambil langkah berjaga-jaga menangani kesan pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan ini. Pakej rangsangan ekonomi ikut diperkenalkan bertujuan memberi keyakinan kepada sektor swasta. Langkah ini diharap menggalakkan kepesatan aktiviti ekonomi domestik yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia sebenarnya lebih yakin dengan sistem perbankan dan kewangan sendiri.