Login to your account

Username
Password
Remember Me

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Name
Username
Password
Verify password
Email
Verify email

Dari Meja Presiden 3 : SKM, MKM dan Angkasa

Baru-baru ini saya telah dijemput untuk hadir ke MKM untuk mendengar taklimat daripada ketiga-tiga agensi iaitu MKM, SKM dan Angkasa mengenai latihan untuk meningkat taraf keberkesanan pembangunan koperasi serta melonjakkan daya kepimpinan koperasi untuk menjadi pemain ekonomi ke 3 negara.  Selain itu menjadi sasaran ketiga-tiga agensi ini supaya 7 daripada 10 rakyat di Malaysia menjadi anggota mana-mana koperasi.

Sepanjang taklimat yang diberikan oleh ketiga-tiga agensi ini  menampakkan  seperti ada isu yang masih tidak selesai, selain pertindihan kursus dan latihan yang dilaksanakan begitu juga dengan peranan dan tanggungjawab.  Seharusnya ketiga-tiga agensi ini duduk semeja dan menyemak semula kemudian bolehlah menyelaras atau mungkin juga boleh membuat beberapa klaster bagi menjalankan tugas supaya lebih efektif dan berkesan selain tidak berlaku pertindihan peranan dan tanggungjawab.  Saya juga berharap dan jika perlu dijemput serta Bank Rakyat dan Bank Persatuan kerana ia juga penting dalam bercakap tentang koperasi dan keusahawanan koperasi.

Kesemua agensi ini sepatutnya diberi peranan yang berbeza tetapi mempunyai satu matlamat yang jelas dan menjadikan semua komponen sebagai rantaian nilai.  Seperti SKM contohnya boleh berperanan sebagai  pemberi khidmat nasihat mengenai perkembangan, dasar, polisi dan penguatkuasa sesebuah koperasi, manakala MKM berperanan terhadap kursus, latihan, pengajian tinggi, kaunseling, motivasi, patriotisme dan sebagainya. Angkasa pula dalam program-program pembangunan usahawan atau koperasi ke arah keusahawanan, dimana Bank Rakyat atau Bank Persatuan berperanan sebagai mengumpul dan pengagihan dana / pinjaman kepada koperasi yang berniat atau bergiat dalam industri, perniagaan dan sebagainya.  Peranan-peranan ini boleh diperluaskan lagi namun tidak boleh terkeluar daripada skop yang telah dipertanggungjawabkan.

Sesi pertama, MKM memberikan taklimat yang berkaitan latihan dan kursus,  saya mendapati ia sangat jelas mengenai peranan MKM itu sendiri sebagai pusat pengembangan ilmu kepada koperator.  Begitu juga bila MKM telahpun mewujudkan pusat  pengajian tinggi sehingga keperingkat ijazah, ini menampakkan sesuatu perkembangan yang sangat pro aktif bagi meningkatkan taraf profesionalisme kepada pemimpin-pemimpin koperasi serta anggota-anggota koperasi itu sendiri.

Namun bila wakil daripada SKM memberikan taklimat saya nampak macam terdapat kekeliruan dalam peranan yang dimainkan iaitu sekadar untuk ‘Business Matching”.  Situasi ini tidak mencerminkan SKM sebagai satu agensi di bawah MeCD mampu untuk membantu koperasi dalam mengembangkan perniagaan koperasi.  Ini saya nyatakan kerana pegawai yang memberikan taklimat tidak mampu memberikan khidmat nasihat mengenai perniagaan kerana beliau sendiri kurang arif dan tidak kenal apa itu perniagaan, bagaimana pegawai seperti ini mampu untuk membantu koperasi, terutama dalam memberikan khidmat nasihat mengenai keusahawanan kepada koperasi-koperasi.

Saya difahamkan bahawa SKM mempunyai Bahagian Pembangunan Perniagaan di Ibu Pejabat, tetapi tidak di cawangan-cawangan negeri.  Namun sehinggga kini saya tidak dapat melihat peranan Bahagian Pembangunan Perniagaan ini bergerak secara aktif dan dapat memberikan menfaat kepada koperasi-koperasi. 

Sebagai contoh saya mempersoalkan mengenai saranan beliau yang menasihatkan bahawa koperasi lain boleh tanam nenas dan boleh belajar dari koperasi yang lain.  Membuat pakaian mengikut syarikat si polan dan ikut si polan...  Saya soal kenapa bidang keusahawanan ini disempitkan dengan ikut si polan, mestikah koperasi bila nak menceburi bidang keusahawanan mesti ikut apa yang koperasi atau syarikat lain telah buat dan jika semua koperasi disuruh tanam nenas atau koperasi ikut syarikat pakaian, satu lambakan akan berlaku kemudiannya daya saing pengeluaran berkurang apakah nasihat beliau pulak...  SKM, pegawai di SKM tidak seharusnya memberikan nasihat seperti ini jika mahu melihat koperasi bardaya saing pada masa depan, jangan menjadikan koperasi sebagai usahawan ikut-ikut.  Koperasi tu buat itu kita ikut buat itu, koperasi ini buat ini koperasi itu juga buat ini.

Ini menyebabkan koperasi yang menjadi koperasi usahawan tidak berdaya saing sebab menjadi koperasi ikut-ikut.  Saya memberikan cadangan kepada beliau supaya melihat sesuatu aktiviti perniagaan itu pada pandangan yang lebih luas.  Jika satu koperasi sudah menanam nenas, koperasi lain boleh dicadangkan sebagai pembekal benih nenas atau baja atau juga jentera atau apa-apa lain seperti mewujudkan kilang memproses jus nenas atau mengetin nenas.  Kemudian boleh juga dicadangkan koperasi yang menyediakan transport untuk mengangkut nenas atau boleh juga mewujudkan koperasi berperanan sebagai pengeksport nenas.  Namun beliau menempelak saya dengan sinisnya.

Perkara yang saya maksudkan ini dapat kita lihat semasa Hari Koperasi Negara yang baru berlansung tahun lepas di PICC, Putrajaya.  Produk yang dihasilkan tidak ada perbezaan dengan usahawan-usahawan kecil di bawah MARA, TEKUN dan lain-lain.  Produk yang dihasilkan seperti produk yang dihasilkan dibelakang rumah dan masih mempunyai kualiti, presentasi, pembungkusan dan lain-lain sepertimana sebuah syarikat ataupun perniagaan enterprise sahaja, adakah produk-produk seperti ini yang mahu pegawai ini banggakan?  Atau cukup dengan beberapa koperasi kredit yang boleh memberikan dividen tinggi atau seumpamanya?

Saya mengajukan lagi soalan kepada pegawai SKM ini, sepatutnya dengan kekuatan koperasi yang mempunyai lebih 6,000 dan keanggotaan melebihi 6.8 juta orang serta aset melebihi RM 37 billion.  Penyertaan koperasi tidak seharusnya pada sekala kecil tetapi mestilah pada skala sederhana dan besar.  Namun pegawai ini lansung tidak mempunyai fikiran yang besar dan berpandangan jauh dengan memberi jawapan yang sungguh kelakar dan melucukan.

Katanya, koperasi mestilah berniaga dengan kecil-kecilan dahulu selepas 2 atau 3 tahun boleh meniaga besar sikit dan beliau memberi contoh beberapa koperasi kredit yang mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk mengumpul modal bagi membeli aset seperti bangunan dan sebagainya.  Jawapan yang diberikan langsung tidak boleh diterima, jika koperasi yang ditubuhkan hanya mahu berniaga kecil-kecilan saya fikir tidak perlulah untuk menubuhkan koperasi tetapi cukuplah sekadar daftar perniagaan atau enterprise saja atau mahu yang lebih besar lagi syarikat sendirian berhad sahaja, dalam satu hari dah boleh berniaga. 

Untuk tubuh sesebuah koperasi mestilah mempunyai keahlian tidak kurang daripada 50 orang anggota.  Kenapa 50 orang? Sebab antara lainnya mahu mengumpul dan membina kekuatan serta berkongsi modal dan kemudian bolehlah menjalankan aktiviti seperti berniaga dan sebagainya berdasarkan bentuk koperasi yang ditubuhkan.  Sebab itulah lebih 50 orang. 

Ingin mendaftar koperasi bukannya semudah mendaftar perniagaan atau syarikat, ia melalui satu proses yang memerlukan kesabaran dan mengambil masa yang agak panjang sehingga 3 hingga 6 bulan baru boleh daftar, dengan mengambil masa yang begitu lama untuk mendaftar sesebuah koperasi, kemudian perniagaan yang mahu dilaksanakan sekadar produk belakang, rumah saya fikir itu hanya membuang masa dan pada fikiran saya  ini adalah antara punca mengapa rakyat negara ini tidak berrminat untuk menyertai menubuhkan koperasi dan seterusnya menyertai koperasi.

Pegawai-pegawai di SKM juga seharusnya lebih pro aktif serta perlu terlibat lebih lagi dalam aktiviti perniagaan supaya mereka boleh memberikan perkhidmatan dan khidmat nasihat yang boleh membangunkan koperasi terutama dalam bidang perniagaan, bukan sekadar mencari salah dan menghukum.

Koperasi sebagai penyumbang ke 3 KDNK selepas Kerajaan dan Swasta.  Dalam proses saya menulis artikel ini, melalui berita di TV memaklumkan bahawa koperasi hanya mampu menyumbang hanya 1% KDNK Negara.  Sangat jauh daripada sasarannya.  SKM haruslah merasa cemburu dan mempertingkatkan lagi daya usaha mereka untuk menjadikan benar-benar koperasi sebagai penyumbang KDNK ke 3 negara.

KOBERA.  Koperasi Bela Rakyat yang telah dilancarkan secara rasminya pada tahun 2008, mencerminkan wawasan YB Dato’ Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melihat koperasi dapat mencapai satu tahap yang boleh membantu membangunkan ekonomi rakyat, dengan peruntukan yang begitu besar MeCD dengan memberikan gran sebanyak RM30,000 bagi setiap koperasi ini di setiap DUN kemudiannya pinjaman mudah RM 50,000 sebenarnya boleh memberikan impak yang lebih besar kepada pembangunan usahawan koperasi.  Tetapi percayalah, saya menganggarkan bahawa KOBERA ini hanya akan tinggal nama dan hutang yang tidak berbayar.  Kenapa saya berani menyatakan demikian,

Pertama.  Penubuhan KOBERA di setiap DUN cukup baik, tetapi antara KOBERA dan KOBERA tidak dibina jaringan perniagaan (jaringan perniagaan teras), menyebabkan pemikiran pemimpin KOBERA berada dalam kotak DUN tersebut sahaja dan projek atau perniagaan yang mahu dibuat juga berdasarkan kepada projek atau perniagaan komuniti setempat.

Kedua.  KOBERA mestilah menjadi ahli Koperasi Menengah (Koperasi Usahawan) bagi membina jaringan perniagaan, pemasaran, pengedaran, latihan dan sebagainya.  Dengan tiada jaringan ini akan menyebabkan KOBERA gagal berkembang kerana anggota KOBERA terdiri daripada komuniti di DUN berkenaan.

Ketiga.  Tidak ada penyaluran maklumat mengenai peluang perniagaan, terutama dalam bidang pembuatan, pertanian dan penternakan yangmana KOBERA boleh mengambilnya kemudian memasarkan melalui Koperasi Menengah ini.

Keempat.  KOBERA mestilah mendapat sentuhan daripada koperasi usahawan atau syarikat yang telah berjaya dengan mendapatkan projek-projek kontrak (seperti ladang kontrak, penternakan kontrak, menjadi pembekal kepada koperasi dan syarikat yang telah berjaya dan banyak lagi). 

Berdasarkan apa yang telah saya nyatakan di atas bukanlah cara untuk saya menghentam sesiapa, Cuma memberikan apa yang saya rasa dan lihat.  Seharusnya kita semua melihat dan memperkemas apa yang perlu bagi menjamin survivaliti koperasi dan terus menjadi relevan pada masa akan datang.

Di Indonesia, Iran, Jepun dan beberapa Negara lagi di dunia, menjadikan koperasi berperanan seperti MARA, BANK dan sebagainya malah sebahagian koperasi diluar Negara atau di Negara-negara yang saya sebutkan tadi mempunyai syarikat-syarikat awam yang disenaraikan di bursa saham menjadikan anggota-anggota koperasi mereka kaya.  Tetapi di Malaysia, koperasi menjadi kaya (mempunyai simpanan tetap berjuta-juta) tetapi ekonomi anggota koperasi tidak terbela, sebab kebanyakkan ALK gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

ALP Koperasi lebih rela meletakkan wang koperasi dalam simpanan-simpanan tetap daripada menjalankan perniagaan yang boleh menguntungkan anggota koperasi secara terus atau tahunan.  Antara lain kegagalan ALK merancang menggunakan modal dan keanggotaan koperasi mereka bagi meningkatkan taraf ekonomi anggota dan koperasi.  ALK seharusnya lebih pro aktif dalam menjalankan kegiatan ekonomi seperti perniagaan dan keusahawanan dan bukan sekadar membuat simpanan tetap sahaja.

Ini antara sebab ramai rakyat Malaysia tidak mahu menyertai koperasi.  Jika wang yang disimpan di koperasi sekadar menjadi simpanan tetap di BANK lebih baik individu terbabit meletakkan wang mereka sendiri ke BANK, tidak payah keuntungan dari simpanan tetap yang dibuat dicukai oleh koperasi untuk membayar elaun ALK, membayar gaji kakitangan, membayar sewa pejabat dan sebagainya.

Pada tahun 2007 saya antara penceramah yang selalu di jemput oleh Jabatan Koperasi (JPK) waktu itu untuk memberikan ceramah bagi mengusahawankan koperasi, tetapi bukan semudah yang disangka kerana koperasi datang dari latar belakang yang berbeza, seperti guru, tentera, kakitangan kerajaan dan sebagainya yang langsung tidak mempunyai asas-asas perniagaan, jadi bagaimana mereka mahu faham mengenai tolak terajang dalam bidang perniagaan.

Walaupun begitu, koperasi-koperasi ini mempunyai kekuatan mereka seperti kewangan dan anggota yang ramai namun kekuatan-kekuatan ini gagal digunakan secara maksimum untuk menjalankan perniagaan.  Menyebabkan beberapa perniagaan yang dibuat oleh koperasi gagal untuk berkembang seperti kedai runcit, pasaraya dan lain-lain.  Ini kerana anggota koperasi gagal diterapkan nilai berkoperasi yang sebenar.  Dan faktor lain, anggota tidak diberi REWARD jika membeli atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh koperasi mereka sendiri.  Malah ada koperasi yang menjual produk lebih mahal daripada luar, menjadikan kedai atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh koperasi tidak menjadi popular dari kalangan anggota.

Selain itu, perniagaan koperasi juga gagal untuk memikat hati pelanggan lain (bukan anggota koperasi) untuk berbelanja di kedai-kedai koperasi kerana mungkin juga disebabkan nama koperasi (hanya untuk anggota sahaja) itu sendiri yang main menyempitkan lagi aktiviti perniagaan koperasi.  Koperasi yang ingin menjalankan perniagaan tidak terlalu SENTIMENTAL dengan nama seperti KOGUMA, KOPRAHA, KOJADI, KOWAJA, KOTAQWA dan seumpamanya. 

Koperasi seharusnya melihat perniagaan lebih terbuka dan memilih nama perniagaan secara komersil, sepertimana BANK RAKYAT, BANK PERSATUAN dan The RIGHTS sebagai contoh supaya memberikan impak kepada anggota tetapi juga semua golongan untuk menjadi pelanggan diperniagaan-perniaggan seperti ini.

Sesuatu harus dilakukan untuk memberi lebih impak di atas kewujudan koperasi, satu kumpulan pemikir yang terdiri daripada semua sector seperti kerajaan, kementerian, NGO, usahawan dan lain-lain yang difikirkan perlu untuk duduk bersama-sama berbincang membina satu ROAD MAPS supaya menjadi panduan kepada koperasi dan semua agensi terlibat supaya koperasi benar-benar menjadi penyumbang Ke 3 KDNK pada tahun-tahun akan datang.


 

Haris Fadzlah Mat Ali
Presiden
The RIGHTS