Login to your account

Username
Password
Remember Me

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Name
Username
Password
Verify password
Email
Verify email

Pelancongan Islam dorong hasrat negara jadi pusat hab halal serantau

INDUSTRI halal merangkumi bidang yang luas yang bukan saja tertumpu kepada produk makanan halal, farmaseutikal, kosmetik, pembungkusan atau logistik, sebaliknya ia merentasi skop lain termasuk pelancongan Islam.

Ketika ini, perdagangan industri berkenaan mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan negara berikutan pasarannya amat luas. Yang pasti semua industri halal bukan saja memberi manfaat kepada 1.8 bilion masyarakat Islam di seluruh dunia, malah kepada 4.8 bilion penduduk dunia yang bukan Islam turut mendapat manfaat daripada industri berkenaan.

Jika dilihat dalam konteks itu, pelancong Islam di seluruh dunia menyumbang tujuh peratus daripada kira-kira AS$2.5 trilion (RM8.5 trilion) yang dibelanjakan setahun sepanjang percutian mereka. Menerusi jalinan itu, pelancongan Islam adalah sektor perkhidmatan yang mempunyai potensi besar dalam pasaran perniagaan berasaskan industri halal, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara.

Dalam aspek ini, ramai pelancong asing khususnya orang Islam tanpa ragu-ragu memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka kerana tersedia pelbagai perkhidmatan dan produk halal. Statistik menunjukkan sepanjang Januari hingga Oktober lalu, kemasukan pelancong asing ke Malaysia terus meningkat, iaitu seramai 19.15 juta berbanding 18.15 juta tahun lalu.

Malah, pelancong dari negara Muslim turut menjadi penyumbang kepada peningkatan itu dengan jumlah 4.48 juta orang. Dari segi sumbangan pendapatan, kemasukan pelancong dari Asia Barat saja mencecah RM942.2 juta (2006); RM1.4 bilion (2007) dan RM1.5 bilion (2008).

Tragedi 11 September di bumi Amerika Syarikat juga memberi kesan ketara kepada pasaran halal pelancongan yang lebih besar. Jumlah kemasukan pelancong Asia Barat meningkat mendadak, iaitu daripada 186,821 orang pada 2006 kepada 245,302; pada 2008 (264,338) dan Januari - September 2009 (252,756 orang).

Berdasarkan kepada potensi terhadap pelancongan Islam, maka maklumat, keperluan dan perkhidmatan asas berkaitannya perlu lebih mesra Muslim. Namun, di Malaysia sendiri, semua aspek itu masih belum dikategorikan sebagai mesra Muslim sepenuhnya, terutama pusat penginapan dan hotel yang kebanyakannya tidak ada arah kiblat, makanan dihidangkan benar-benar halal, kemudahan tandas tidak mesra bagi pengguna Muslim untuk membersihkan diri.

Begitu juga dengan pusat beli-belah lain, keraguan terhadap status halal makanan dan minumannya masih diragui, walaupun ada restoran melekatkan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru, pelancongan Islam perlu fokus terhadap penyediaan pelbagai maklumat dan kemudahan bagi memenuhi keperluan umat Islam. Ketika ini, sudah wujud Pusat Pelancongan Islam yang ditubuhkan sejak Februari lalu di bawah Pelancongan Malaysia untuk memajukan sektor pelancongan Islam di negara.

Apa yang penting, potensi pelancongan Islam di Malaysia terbuka luas dengan faktor penyumbang lain seperti dasar liberal Malaysia yang menawarkan keselesaan dalam pelbagai segi termasuk senang mendapatkan makanan halal, kemudahan tempat beribadat, pelancongan berasaskan kesihatan, kepelbagaian budaya dan warisan, aman serta kaya dengan sumber alam semula jadi, pulau dan pusat beli-belah, selain program lebih agresif bagi pasaran negara Asia Barat serta di benua lain, harus dieksploitasi sepenuhnya bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab, berkata hari ini, perdagangan halal dianggap sektor perniagaan yang semakin berkembang di kebanyakan negara di seluruh dunia kerana berpotensi besar ke arah penerokaan industri halal khususnya boleh fokuskan kepada pelancongan berasaskan keislaman.

Katanya, Malaysia sejak sekian lama begitu komited ke arah membangunkan industri halal sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

”Kita sentiasa konsisten dengan menekankan kepada kerjasama serta elemen jaringan antara kerajaan dan syarikat swasta. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia mempunyai tahap keselesaan tinggi terhadap isu halal bukan saja pada makanan dan minuman, malah keperluan peribadi serta kemudahan.

“Kita menyediakan banyak program termasuk kerjasama pintar antara Malaysia dengan negara luar seperti travel mart,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Halal dan Pelancongan Islam Antarabangsa, baru-baru ini.

Justeru, kesungguhan Malaysia sebagai hab halal dunia serta menjadi pusat rujukan serantau bakal menjadi realiti berdasarkan potensi yang terbuka luas dalam bidang berkaitan.

Sementara itu, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Abdul Hadi Othman, pula berkata berdasarkan saiz pasaran produk makanan halal saja ia boleh dikembangkan secara menyeluruh. Nilai pasaran global perdagangan makanan halal dan produk bukan berasaskan makanan ialah AS$2.1 trilion setahun.

Abdul Hadi menjelaskan, saiz pasaran produk makanan halal di Malaysia ialah kira-kira RM29 bilion dengan jumlah RM3.9 bilion atau 48 peratus untuk pasaran eksport, pada tahun lalu.

Ketika ini, aktiviti seperti Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Forum Halal Dunia (WHF) mampu memberi impak berkesan ke arah pembangunan industri halal secara mapan.

Menerusi Mihas 2009, umpamanya sebanyak 529 syarikat iaitu 402 tempatan dan 127 antarabangsa menyertainya dengan keseluruhan jualan mencecah RM3 bilion sepanjang penganjurannya manakala WHF 2008, sejumlah 1,390 penyertaan dari 52 negara berjaya menghasilkan beberapa perjanjian persefahaman (Mou). Contohnya antara Pembangunan Industri Halal (HDC) dengan Lembaga Tabung Haji dan HDC dengan Tanjung Manis Food Industrial Park Sdn Bhd.

Bagi Pengurus Kanan Bahagian Perniagaan SME Corporation, Hilyati Mohd Nasir, peluang industri makanan halal mampu berkembang pesat meliputi pertanian (daging, sayur-sayuran, perikanan, ternakan); pembuatan (bahan makanan, makanan halal); perkhidmatan (peruncitan, logistik, makmal ujian, kewangan, pembungkusan).

Dengan pertumbuhan jumlah penduduk Muslim dunia dijangka tiga bilion menjelang 2010, peningkatan pendapatan, pertambahan kesedaran masyarakat untuk mendapatkan makanan yang selamat, berkualiti tinggi dan bersih dan ada jaminan dari segi standardnya turut memberi kesan hebat kepada pembangunan industri makanan halal, pada masa depan.

“Potensi permintaan global terhadap pengeluaran makanan halal dianggarkan mencecah kepada AS$2.77 trilion setahun, pasaran makanan halal AS$641.5 bilion serta pasaran makanan halal Asia AS$391.2 bilion,” katanya.